Masters KL: Jun Hao selangkah lagi akhiri kemarau gelaran

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao hanya selangkah lagi untuk menamatkan kemarau gelaran selama setahun apabila melangkah ke final Kejohanan Badminton Masters Kuala Lumpur (KL) 2023 di Stadium Titiwangsa, di sini semalam.
Bekas juara remaja Asia 2017 itu berada dalam kelas tersendiri apabila hanya mengambil masa 38 minit untuk menyingkirkan bintang meningkat naik dari Korea Selatan, Choi Ji Hoon 21-17, 21-16 di saingan separuh akhir.
Jun Hao, 24, akan menentang pilihan utama kejohanan, Lee Chia Hao dari Taiwan di pentas final untuk mengakhiri penantian selama setahun selepas meraih gelaran Masters Indonesia di Malang, Oktober tahun lepas.
Chia Hao menafikan hasrat peminat Malaysia untuk menyaksikan pertembungan sesama Malaysia di pentas final esok apabila beliau menyingkirkan Aidil Sholeh Ali Sadikin 21-15, 24-22 pada satu lagi aksi separuh akhir.
Sementara itu, beregu lelaki profesional negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang berada di ranking ke-49 dunia, turut mara setapak lagi untuk menjuarai gelaran pertama dalan saingan siri Jelajah Dunia BWF.
Beregu pilihan ketiga kejohanan itu mengambil masa 67 minit untuk mara ke final selepas mengetepikan cabaran beregu Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Wang Chan 21-16, 19-21, 21-15 dalam aksi separuh akhir pada kejohanan bertaraf Super 100 itu.
Menanti beregu negara di pentas final ialah wakil Taiwan,Chen Cheng Kuan-Chen Sheng Fa yang telah menumpaskan beregu profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong - 15-21, 21-15, 21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Hang Yee-Eng Cheong mencapai kemajuan memberangsangkan tahun ini dengan memenangi tiga kejuaraan bertaraf Cabaran Antarabangsa dan Siri Antarabangsa bermula di Terbuka Slovenia, Terbuka Austria dan Terbuka Mongolia serta pertama kali layak ke final acara Jelajah Dunia.
“Kami tidak terlalu memikirkannya (final) sehingga perlawanan akhir... menang atau kalah, kami hanya fokus pada permainan kami. Kami mempercayai antara satu sama lain dan banyak berkomunikasi. Rasanya hebat dan saya rasa kami melakukan kerja yang cukup baik hari ini,” kata Eng Cheong, 24.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See memburu gelaran pertama sejak digandingkan pada Mei tahun lepas dengan menyingkirkan pasangan Taiwan, Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun 21-10, 22-20 pada saingan separuh akhir.
Peng Soon, pemenang pingat perak bersama Goh Liu Ying pada Sukan Olimpik Rio 2016, akan berdepan pasangan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong yang menyingkirkan pasangan muda negara Choong Hon Jian-Go Pei Kee 21-17, 21-17 dalam peringkat separuh akhir.
“Walaupun ini hanya kejohanan bertaraf Super 100, kemenangan ini penting dari segi meningkatkan keyakinan kami selepas beberapa persembahan hambar sejak kebelakangan ini,” kata Peng Soon.
Dalam gandingan mereka sebelum ini, Peng Soon-Yee See memenangi Terbuka Rusia 2017 dan juga pingat gangsa dalam Sukan SEA Kuala Lumpur L 2017. - Bernama
from Highlights https://ift.tt/pcQjd8I
via IFTTT
Nhận xét
Đăng nhận xét