Taegeuk Warriors sedia bergegar walapun awal goyang - Klinsmann

DOHA: Walaupun dikritik kerana permulaan yang kurang memuaskan pada saingan Piala Asia 2023, Jurgen Klinsmann boleh tersenyum lega kerana membimbing juara dua kali, Korea Selatan, ke separuh akhir esok menentang Jordan di Stadium Ahmad bin Ali di Al Rayyan.

Klinsmann dibidas apabila Korea Selatan menang satu dan seri dua perlawanan dalam Kumpulan E untuk menduduki tempat kedua di belakang Bahrain dan mara ke pusingan kalah mati, di mana mereka terpaksa bergantung kepada sepakan penalti untuk mengatasi Arab Saudi dalam pusingan 16 terbaik sebelum mengetepikan Australia 2-1 di peringkat suku akhir.

Namun begitu, jurulatih dari Jerman itu yang pertama kali mengendalikan skuad Korea Selatan dalam Piala Asia tidak terganggu dengan segala kritikan dan memuji Tegeuk Warriors sebagai pasukan istimewa.

“Saya sangat bangga dan bertuah untuk melatih pasukan istimewa ini dalam Piala Asia yang pertama saya... Saya ingin memberikan segala pengetahuan dan pengalaman yang saya miliki kepada mereka dan kami ingin berjaya dalam kejohanan ini.

“Kami melangkah perlawanan demi perlawanan dengan banyak emosi. Kami yakin boleh berjaya tetapi tahu ia akan menjadi satu lagi cabaran menentang Jordan, pasukan yang sangat baik tetapi kami sedia untuk itu. Secara peribadi, saya menikmati setiap detik kejohanan ini, ia pengalaman yang hebat,“ kata pemenang Piala Dunia 1990 berusia 59 tahun itu kepada sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Klinsmann berkata beliau juga mendapat pandangan baharu dan belajar perkara-perkara baharu dengan menonton persembahan Korea Selatan di sini.

“Kebanyakan pemain membawa keluarga mereka... kanak-kanak kecil berlarian di sekeliling dan kami bahkan keluar makan malam bersama. Apa yang penting mereka berasa selesa sesama sendiri dan kemudian pergi ke perlawanan esok menentang pasukan yang sangat kuat dengan keyakinan.

“Kesanggupan untuk menempuh kesukaran untuk mencapai matlamat akhir, walaupun bermakna harus bermain selama 120 minit atau melangkah ke situasi penentuan penalti...kami bersedia untuk itu,“ katanya.

Klinsmann mengenali Jordan, juga dikenali sebagai ‘The Chivalrous’, serta kedua-dua pasukan seri 2-2 dalam Kumpulan E sebelum ini.

“Mereka bermain dengan baik dan mencetak dua gol menentang kami... mereka mempunyai beberapa pemain istimewa yang boleh mencalar kami dalam sekelip mata. Jadi, kita harus berada dalam keadaan terbaik untuk mengelakkan lolos sebarang gol dan bermain dengan kekuatan kita,“ katanya, sambil memuji kerja baik yang dilakukan oleh pengurus Jordan, Hussein Ammouta.

Sementara itu, pemain tengah Korea Selatan, Hwang In-beom, yakin bahawa ketiadaan tonggak pertahanan Kim Min-jae, yang digantung perlawanan, tidak akan memberi kesan kepada pasukan.

“Pasukan ini bukan hanya tentang Min-jae (Kim), beliau pemain yang bagus tetapi kami mempunyai ramai pemain berlatih dengan tekun juga. Jadi, sesiapa sahaja yang menggantikannya, jika bermain seperti biasa dan membiarkan personaliti dan karakter mereka bersinar di padang, sepatutnya tidak menjadi masalah. Kami akan membuktikan bahawa kami boleh bersungguh-sungguh menang kejohanan ini sebagai satu kumpulan,“ kata In-beom, yang berusia 27 tahun.

Beliau berazam untuk membuktikan pihak yang meragui bahawa mereka tidak memiliki bakat sebagai juara kerana kelemahan benteng pertahanan.

“Sejarah ada untuk diubah dan ditulis semula. Jika ada pihak ramal Korea Selatan tidak akan menang kejohanan ini kerana telah meloloskan lapan gol, maka kita akan membuktikan mereka sillap. Selain bilangan gol lolos banyak tetapi kami juga menjaringkan banyak gol,“ katanya.–Bernama



from Highlights https://ift.tt/k1U7Yyw
via IFTTT

Nhận xét

Bài đăng phổ biến