Isu harga makanan mahal di Pangkor kes terpencil - Exco Perak

IPOH: Isu membabitkan sebuah premis makanan hasil laut di Pulau Pangkor yang didakwa mengenakan harga mahal hingga tular dalam media sosial baru-baru ini, merupakan kes terpencil.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata bagaimanapun, kerajaan negeri memandang serius isu itu dengan mengarahkan pihak penguat kuasa kepenggunaan mengambil tindakan sewajarnya ke atas peniaga yang mengenakan harga tidak munasabah.

Beliau berkata tindakan perlu diambil bagi memastikan hak dan kepentingan pelancong yang berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 tidak diambil kesempatan oleh mana-mana peniaga.

“Kita (kerajaan negeri) sangat prihatin dengan nasib pelancong yang terpaksa membayar harga makanan yang tidak sepatutnya dan kita tidak mahu ia menjadi kebiasaan kepada peniaga makanan mengenakan harga makanan sesuka hati.

“Ini kerana, Perak terkenal dengan makanan yang murah dan sedap jadi kita kena pastikan semua (harga makanan) di negeri ini tidak di luar kawalan,“ katanya.

Loh berkata demikian selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Tourism Perak dengan Chuan Sin Sdn Bhd (CSSB) sempena TMP 2024 di Spritzer Eco Park, di Taiping hari ini.

Baru-baru ini tular video di laman sosial TikTok seorang pengguna mendakwa dikenakan caj harga makanan laut siap masak yang mahal dan tidak setimpal dengan kualiti serta perkhidmatan diberikan oleh premis di Teluk Nipah itu.

Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri melakukan serbuan ke atas premis tersebut pada Ahad lepas

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata satu tindakan kes telah diambil terhadap peniaga terbabit kerana disyaki melanggar Seksyen 140(3)(a)(b) Akta Pelindungan Pengguna 1999, iaitu gagal meletakkan butiran nama dan alamat perniagaan serta tarikh pembelian dalam resit yang dikeluarkan kepada pengguna.

Dalam perkembangan lain, Loh berkata Tourism Perak telah bekerjasama dengan CSSB, yang merupakan pengeluar air mineral terbesar, untuk mempromosikan 11 ikon pelancongan menarik di negeri ini sempena TMP 2024 menerusi pembungkusan eksklusif air mineral jenama Cactus.

Menurutnya antara ikon pelancongan pada pembungkusan eksklusif itu ialah Kellie’s Castle, Gua Tempurung, Stesen Keretapi Ipoh, Istana Iskandariah Kuala Kangsar dan Menara Condong Teluk Intan dengan anggaran pengeluaran sebanyak tujuh juta karton dalam tempoh setahun. - Bernama



from Highlights https://ift.tt/1wBsY0O
via IFTTT

Nhận xét

Bài đăng phổ biến