Pengundi muda: Pening memilih, teruja mengundi

KANGAR: Rata-rata anak muda resah memikirkan persoalan parti mana yang patut dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov, yang berbaki hanya sembilan hari lagi.

Bagi Rujidah Mulah, 24, kerani di sebuah syarikat swasta di sini berkata seperti anak muda lain beliau telah muak menjadi ‘penonton kepada drama politik’ tampuk pentadbiran negara yang membuat perubahan berulang kali.

“Terus terang cakap, saya masih pening nak pilih parti mana? ...apa yang penting kami anak muda idamkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil serta prihatin dengan isu anak muda,” katanya yang pertama kali menjadi pengundi.

Katanya hanya kerajaan yang stabil selepas PRU15 dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat baik dari segi ekonomi mahupun politik.

“Sebelum ini saya hanya dapat melihat orang lain pergi mengundi, tapi kali ini saya rasa sedikit berdebar kerana diberi peluang untuk menentukan masa depan negara,” katanya sambil tersenyum.

Turut berkongsi pendapat, Chong Kah Vui, 23, berkata dia teruja kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi kawasannya iaitu di Parlimen Tawau, Sabah.

“Saya sanggup mengeluarkan wang simpanan saya berjumlah lebih RM1,000 untuk membeli tiket penerbangan pulang ke kampung saya di Kampung Sin Onn, Tawau pada 17 Nov ini kerana mengundi ini hanya datang lima tahun sekali.

“Kerajaan yang dipilih kali ini perlu mengutamakan suara anak muda kerana generasi kami adalah penentu hala tuju negara,” katanya yang merupakan pelajar tahun akhir di sebuah universiti awam.

Bagi Nurul Azlan Ahmad, 25, berkata apa yang paling diperlukan negara ketika ini ialah kerajaan yang kukuh dan stabil untuk menghentikan segala ketidakstabilan sejak empat tahun lalu.

“Kemunculan gabungan politik baharu seperti Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) membuka lebih banyak pilihan kepada kami untuk membuat perbandingan, parti mana yang layak mentadbir negara berbanding sebelum ini,” kata penjual makanan itu.

SPR menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov ini. - Bernama



from Highlights https://ift.tt/3rpz1HO
via IFTTT

Nhận xét

Bài đăng phổ biến