KBS nafi wujud elemen sabotaj sebabkan 12 acara Sukma digugurkan

IPOH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan wujud elemen sabotaj oleh mana-mana persatuan sukan berikutan pengguguran 12 acara Sukan Malaysia (Sukma) 2022 Kuala Lumpur yang dijadual pada 16 hingga 24 Sept ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata terdapat beberapa pendekatan atau kaedah sedang dilakukan pihaknya bagi memastikan beberapa acara yang digugurkan itu dapat diteruskan pelaksanaannya.

“Setakat ini kita memutuskan bagi acara-acara mempunyai lapan negeri yang menyertainya kita turunkan jadi enam dan ada cadangan beberapa acara diturunkan jadi lima. Itu sedang kita perhalusi.

“Saya berpandangan kalau tidak cukup, apa yang kementerian lakukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) adalah menganjurkan kejohanan bertaraf kebangsaan bagi acara tersebut supaya atlet-atlet berkenaan mendapat peluang beraksi,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rukun Negara@Belia (RNB) di Aeon Klebang di sini hari ini.

Pada 18 Ogos lepas, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan pengguguran 12 acara Sukma tidak dapat dielakkan kerana jumlah minimum enam negeri tidak dapat dipenuhi pada temasya sukan tersebut.

Beliau turut menjelaskan perkara itu dapat dielakkan jika negeri-negeri yang telah melakukan pendaftaran awal tidak bertindak menarik diri pada saat akhir sebelum tarikh pendaftaran ditutup.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata cadangan pihak tertentu agar negeri-negeri yang gagal menghantar wakil dalam sesuatu acara dikenakan hukuman disifatkan tidak wajar.

Beliau berkata ini kerana tidak semua negeri menghantar atlet bagi keseluruhan acara yang dipertandingkan pada temasya sukan berkenaan.

“Tidak adil kita hendak hukum sesuka hati kerana ada sukan yang aktif dilaksanakan di sesebuah negeri tetapi sebaliknya tidak berlaku di negeri lain. Ramai orang ada pandangan tersendiri tetapi yang pastinya kita semua mahukan sukan itu dimartabatkan di tahap tertinggi,” katanya. - Bernama



from Highlights https://ift.tt/r5YWsDz
via IFTTT

Nhận xét

Bài đăng phổ biến